TAJUK : AMALAN MURNI MEMUPUK PERPADUAN
Yang saya hormati saudara peneraju majlis, dif-dif kehormat, barisan hakim yang bijaksana serta hadirin sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan kepada semua.
Ke gunung sama didaki,
Ke lurah sama dituruni,
Hormat-menghormati amalan murni,
Memupuk perpaduan hidup harmoni.
Pantun yang saya lafazkan sebentar tadi berkait dengan tajuk syarahan saya pada hari ini iaitu "Amalan Murni Memupuk Perpaduan".
Hadirin yang saya hormati,
"Amalan Murni Memupuk Perpaduan" bolehlah didefinisikan sebagai sesuatu perlakuan yang dilakukan sebagai satu kebiasaan yang akhirnya dapat menyatukan masyarakat.
Sidang dewan sekalian,
Amalan bantu-membantu, hormat-menghormati dan ziarah-menziarahi haruslah dipraktikkan dalam segala aspek kehidupan selaras dengan kehendak Rukun Negara yang kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.
Selain itu, Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, perpaduan antara kaum amat penting bagi menjamin kemajuan, kemakmuran serta kesejahteraan rakyat. Kita harus ingat bahawa perpaduan tidak akan wujud sekiranya masyarakat tidak mengamalkan nilai-nilai murni.
Perpaduan dapat dipupuk melalui amalan bergotong-royong. "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing". Tanpa sikap bekerjasama, perbalahan kaum mudah berlaku. Ini akan mendatangkan implikasi yang buruk terhadap kestabilan negara. Sikap toleransi di kalangan kaum perlu diutamakan.
Hadirin yang saya hormati,
Amalan mengadakan rumah terbuka yang menjadi tradisi masyarakat Malaysia setiap kali menyambut sesuatu perayaan juga merupakan amalan murni serta dapat mewujudkan persefahaman di kalangan rakyat majmuk di negara ini. Secara tidak langsung, Malaysia telah membuktikan kepada dunia bahawa rakyatnya mengamalkan sikap lebih terbuka daripada semua aspek kehidupan seperti agama, adat, kebudayaan dan sebagainya tanpa diskriminasi kaum, agama dan bangsa. Oleh itu, amalan ini perlu kita kekalkan untuk merealisasikan integrasi antara kaum di negara kita.
Berbudi bahasa amalan kita,
Masyarakat penyayang harus diutama,
Amalan murni hidup bahagia,
Kukuh perpaduan rakyat sejahtera.
Sekian, terima kasih.